Tuesday, August 24, 2010

The Expendables ungguli box office

LOS ANGELES 23 Ogos - Filem aksi The Expendables mendahului tayangan komedi seram, Vampire Suck untuk berada di tangga teratas selama dua minggu berturut-turut dalam senarai box office Amerika Utara hujung minggu ini.

Filem arahan Sylvester Stallone yang mengisahkan usaha kumpulan askar upahan menggulingkan diktator di Amerika Selatan itu berjaya mendapat kutipan tiket minggu ini setinggi AS$16.5 juta (RM51.66 juta) sekali gus menambahkan jumlah jualan terkumpul minggu lalu, AS$35.5 juta (RM111.15 juta).

Kutipan Vampire Suck yang baru muncul di layar perak minggu ini berjumlah AS$12.2 juta (RM38.2 juta).

Tempat ketiga pula diduduki filem adaptasi novel tulisan Elizabeth Gilbert berjudul Eat, Pray, Love arahan Ryan Murphy dengan kutipan berjumlah AS$12 juta (RM37.6 juta).

Sementara itu, tempat keempat pula milik filem komedi baru, Lottery Ticket yang dibintangi penyanyi rap, Ice Cube dan Bow Wow yang mendapat jualan sebanyak AS$11.1 juta (RM34.76 juta).

Satu lagi filem komedi, The Other Guys lakonan Will Ferrell dan Mark Whalberg menduduki tempat kelima senarai itu dengan jualan tiket berjumlah AS$10.1 juta (RM31.58 juta).

Filem Piranha 3D pula menerima jualan sebanyak AS$10 juta (RM31.3 juta) sekali gus menduduki tempat keenam senarai tersebut.

Dalam pada itu, filem lakonan pelakon wanita warga Britain, Emma Thompson berjudul Nanny McPhee Returns menduduki tempat ketujuh dengan jualan sebanyak AS$8.3 juta (RM25.9 juta).

Tempat kelapan hingga kesepuluh pula diduduki filem The Switch AS$8.1 juta (RM25.37 juta), Inception AS$7.7 juta (RM24.1 juta) dan Scott Pilgrim vs. The World AS$5 juta (RM15.65 juta). - AFP

No comments: