Saturday, March 5, 2011

Fotografi Bukan Macam Matematik

Matematik ialah subjek yang saya paling lemah masa di sekolah dulu. Sebab itulah saya jadi jurufoto sekarang, bukan ahli matematik. Bila dapat masuk ITM dalam jurusan fotografi, saya rasa lega dapat belajar bidang yang saya minati. Tapi, macam tak percaya, rupanya ada juga subjek matematik yang saya kena belajar untuk dapatkan diploma dalam fotografi. Subjek itu dinamakan Photo Science Mathematics! Apakah ini semua??? Ingatkan dah lepas bala nak mengira, rupanya ada lagi…

Sebenarnya penting juga subjek sains dan matematik di dalam bidang fotografi ni. Sebabnya, fotografi dicipta oleh sains dan untuk kiraan yang tepat untuk beberapa perkara, ilmu matematik amatlah diperlukan. Contohnya, ada formula menggunakan matematik untuk mengira jarak fokus, jarak fokal, kuasa pembesaran imej, nilai f/number dan entah apa-apa lagi. Tapi, anda tak perlulah risau, sebab kalau anda tak pandai matematik pun, masih boleh jadi jurugambar yang bagus jugak. OK lah, cerita tadi tu cuma intro saja (panjangnya intro?), saya nak cakap pasal benda lain sebenarnya.

Fotografi tak sama macam matematik. Fotografi adalah satu bidang kreatif yang penilaian terhadapnya ada subjektif. Maksud saya, apa pun yang anda baca atau belajar mengenai ‘peraturan’ artistik dalam fotografi, ianya hanyalah sekadar panduan saja sebenarnya. Tidak ada betul atau salah dalam fotografi apabila kita bercakap mengenai aspek seninya.

Jangan terima bulat-bulat apa yang diajar dalam buku atau apa yang diajar oleh cikgu fotografi anda. Semuanya terpulang kepada anda untuk mengubahsuai ‘panduan’ yang diberikan tersebut. Contohnya, dalam pelajaran fotografi, dikatakan, kalau rakam foto, subjek yang kita rakam mestilah tajam (sharp) difokus. Tapi itu tak semestinya. Gambar yang ‘blur’ pun boleh jadi gambar yang baik kalau kena pada tempatnya. Satu lagi contoh ialah mengenai noise. Secara teknikalnya, foto yang dirakam mestilah kurang noise, barulah gambar tu dikatakan cantik atau berkualiti. Maka sibuklah sekelian orang berlumba-lumba tukar kamera baru yang kurang noise. Dengan itu juga, ada pulak segelintir kaum, bila tengok gambar orang saja, dia cari noise! Kalau nampak noise pada gambar orang, noise itu yang dikomen dulu – bukannya nilai artistik pada gambar tersebut. Hakikatnya, gambar yang ada noise pun boleh jadi gambar yang berjaya kalau kena pada tempatnya. Kalau gambar yang ada noise tu ada kekuatan lain seperti aksi yang sangat menarik contohnya, maka kelemahan noise tu bolehlah diabaikan saja.

Maka, akan ada pulak yang akan bertanya, “Kalau macam tu, jika noise tak penting, kenapa diaorang buat kamera baru yang kurang noise?” Ada dua sebab. Nombor satu, sebab diaorang nak bersaing jual kamera. Siapa yang dapat buat kamera yang paling canggih, dia akan dapat jual lebih banyak kamera. Baguslah tu, kita memang nak makin maju, bukan makin mundur. Tapi, bagi yang kurang berkemampuan, janganlah susahkan diri asyik beli kamera baru. Sebab nombor dua ialah, ada sesetengah kerja fotografi memang memerlukan noise yang kurang, contohnya untuk fotografi pengiklanan dan fotografi landscape. Itupun, tidak semestinya – kadang-kadang, kita boleh nampak gambar di papan iklan yang blur dan banyak noise. Cantik jugak bila kena dengan kosepnya.

Satu lagi perkara subjektif di dalam fotografi ialah penilaian gambar. Contohnya bila kita masuk pertandingan, kita rasa gambar kita cantik, tiba-tiba gambar orang lain pulak yang menang. Janganlah marah atau kecil hati. Kita kena ingat, penilaian gambar sangat subjektif. Bukan macam matematik yang cuma ada satu jawapan untuk setiap satu soalan. Pemilihan gambar yang menang dibuat oleh juri pertandingan yang biasanya terdiri dari jurugambar yang berpengalaman. Juri adalah manusia, bukan robot atau mesin kira. Juri ada perasaan, minat yang berlainan, citarasa berbeza, pengalaman berbeza dan pendapat mereka pun berbeza. Sebab itulah dalam pertandingan fotografi, biasanya juri ada ramai – sekitar 3-5 orang dan biasanya latar belakang mereka juga berbeza. Ini supaya keputusan keseluruhan adalah lebih adil hasil dari pengiraan purata markah yang diberikan oleh kesemua juri. Sebab itulah, salah satu tips untuk menang pertandingan fotografi ialah, kita kena kenal siapakah barisan juri dan bagaimanakah jenis gambar yang mereka minat. Kalau kita rakam gambar mengikut citarasa mereka, besarlah peluang kita untuk menang. Contohnya, jika kebanyakan juri pertandingan tu suka pada gambar hitam putih, maka kalau kita hantar gambar hitam putih, senanglah nak ambil hati diaorang.

Itu tadi cerita juri profesional. Sekarang kita cerita pulak pasal juri awam atau penonton di rumah (yang selalu komen gambar dalam Facebook tu lah) Pendapat orang awam yang tak mahir fotografi pun adakalanya kita perlu ambil kira. Sebabnya ialah kerana mereka tak pandai fotografilah! Jadi, penilaian mereka tidak akan terikat dengan kualiti teknikal fotografi semata-mata. Mereka akan terus menilai sesuatu foto itu secara keseluruhannya. Kalau gambar tu dapat menarik perhatian mereka, mereka akan kata cantik. Tapi, kita janganlah cepat perasan. Selalunya di Facebook ni, orang komen sebab nak jaga hati kita dan nak memeriahkan suasana. Kalau setakat komen seperti ‘nice’ atau ‘good job bro’, anggaplah itu sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim…

Sama juga kalau kita rakam gambar kahwin untuk pengantin. Cantik atau tidak gambar tu akhirnya pelanggan yang akan nilai. Baiklah anda pastikan dia suka gambar tu, kalau tidak, susah dia nak bayar. Sebagai jurugambar, kita akan lebih terarah untuk pilih gambar yang kita susah nak rakam. Kita juga akan lebih cenderung untuk ‘suka’ kepada gambar dengan teknik-teknik yang kononnya berseni seperti rakaman secara silhouette, moment yang pelik dan close-up gambar kaki dan sebagainya. Tapi, adakah pelanggan kita suka gambar macam ni? Biasanya, untuk mengelakkan saya syok sendiri, saya akan tanya pendapat isteri saya samada gambar pengantin yang saya rakam tu, cantik atau tidak di mata seorang perempuan. Bukankah berbeza matematik dengan fotografi? Kalau matematik, tak payah tanya pendapat orang, tekan saja calculator, dapatlah jawapannya.

Jadi, dalam fotografi tak usahlah nak gaduh sangat pasal perkara yang subjektif macam ni. Buka fikiran kita. Terima pendapat orang lain kerana ada sesuatu yang boleh kita belajar dari mereka. Kita tak perlu ikut pendapat orang lain, tapi sekadar menerima itu sebagai satu pendapat. Namanya pun pendapat, bukan peraturan. Dalam fotografi, tak ada polis akan tangkap orang yang tak ikut rule of third atau rakam gambar senget. Kecuali kalau orang tu tak ikut rule of third sambil tak ikut rule lampu isyarat, bolehlah kena saman dengan polis.

Tapi… ada tapi jugak. Janganlah kebebasan berkarya dan faktor subjektif dalam fotografi ini dijadikan alasan untuk kita buat sesuka hati dalam fotografi. Tak cemerlang macam tu. Tak fotografilah macam tu. Kita boleh buat apa saja dalam fotografi asalkan kita tahu apa yang kita buat dan mesti boleh terangkan mengapa kita buat begitu. Orang boleh terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Apa yang penting, bila kita terangkan mengapa kita buat sesuatu dengan cara tertentu, sekurang-kurangnya orang faham tujuan dan pendirian kita.

Pelukis lukisan abstrak yang kita tak faham entah gambar apa yang dia lukis tu, boleh jual lukisan dia sebab dia boleh cerita pasal lukisan tu dengan panjang lebar sampai orang yang mendengar cuma angguk-anggukkan kepala. Tapi, bila pelukis tu dah ada nama dan terkenal, dia dah tak payah nak cerita panjang sangat dah. Orang akan tunggu hasil karya dia yang terbaru dan berebut-rebut nak beli. Sama juga macam jurugambar. Seorang jurugambar yang dah ada nama, kalau dia hasilkan gambar yang biasa saja pun, gambar tu tetap akan ada nilai. Sebenarnya, bukan gambar tu yang bernilai tinggi sangat, tapi, siapa yang merakam gambar tu yang lebih penting adakalanya.

Fotografi ni satu bidang yang luas. Ada orang yang tak berapa nampak keluasan fotografi ni. Contohnya pasal penggunaan Photoshop. Ada segolongan orang yang tak berapa pandai rakam gambar, (dah tak pandai, tak mau belajar pulak…) Gambar yang dirakam selalunya tak berapa elok. Lalu, banyak kerja mencantikkan gambar dibuat di dalam Photoshop. Kita kata, kalau nak jadi jurugambar, mesti boleh rakam gambar dengan sesempurna mungkin di dalam kamera. Kita masukkan gambar dalam Photoshop untuk mencantikkan lagi gambar yang dah sedia cantik. Tapi, adakah salah kalau buat banyak kerja foto dalam Photoshop? Tak salah. Memang tak salah. Tapi, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop tidak sesuai dipanggil sebagai jurugambar. Dia adalah artis photo manupulation atau ada orang panggil artis foto-grafik. Salahkah artis foto-grafik? Tak salah, dia juga adalah insan seni dan karyanya diiktiraf sebagai karya seni. Adakah foto-grafik juga diiktiraf sebagai fotografi? Ya, foto-grafik juga diterima sebagai satu cabang dari fotografi, tetapi ianya hanyalah pecahan dari bidang fotografi yang luas. Jadi apa yang salah? (biasalah, kita kena cari juga orang yang perlu dipersalahkan) Saya rasa, yang salah atau yang tak berapa tepat ialah, orang yang buat banyak kerja dalam Photoshop, dia tak pandai ambik gambar, tapi dia mengaku kata dia professional photographer. Itu macam, boleh jejaskan nama baik jurugambar lainlah…

Sama juga macam jenis orang yang suka beli kamera mahal-mahal dan asyik beli kamera untuk penuhkan dry box dia. Kemudian asyik beli dry box lagi untuk isi kamera baru lagi. Salahkah orang macam ni? Tak salah. Sebab nombor satu ialah – dia beli kamera pakai duit dia sendiri, dia bukannya mencuri. Jadi apa yang salah? Nak kata salah tu, kasar sangat bunyinya. Cuma kita rasa tak sesuailah kalau orang yang asyik beli kamera ni gelar diri dia seorang jurugambar, tetapi dia hanya sibuk bergaya dengan kamera, ikut orang pergi shooting, lepas tu komen gambar orang, tapi gambar dia orang lain tak pernah tengok. Orang macam ni boleh memberi tanggapan yang mengelirukan kepada bidang fotografi dan paling bahaya ialah dia boleh meracun orang lain untuk habiskan duit beli barang fotografi tanpa ada apa-apa kemajuan dalam penghasilan gambar itu sendiri.

Sebenarnya, saya kagum juga dengan golongan yang suka beli kamera ini. Cuma mereka tidak begitu sesuai dikategorikan sebagai jurugambar. Mereka lebih sesuai dikategorikan sebagai camera collector. Saya kenal beberapa orang camera collector yang hebat. Mereka tidak pernah mengaku mereka adalah jurugambar. Malah mereka berbangga menggelar diri mereka sebagai camera collector. Saya tabik mereka kerana minat mereka yang mendalam terhadap kamera dan kesanggupan mereka untuk melabur wang dalam membeli kamera yang bukannya murah. Apa yang lebih saya kagumi ialah, golongan camera collector tulen ini mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap spesifikasi dan segala hal mengenai kamera yang mereka kumpul. Ini juga satu hobi yang baik.

Saya harap, anda dapat faham apa yang cuba saya sampaikan. Saya harap penulisan saya ini tidak mengelirukan sesiapa. Diharap juga janganlah ada yang marah dengan apa yang ingin saya sampaikan. Ianya cuma sekadar pendapat peribadi saya yang tentunya berbeza dengan pendapat orang lain. Fotografi bukan matematik, fotografi satu bidang yang subjektif…


Oleh Hasnuddin Abu Samah

mdzaini : Boleh buat kita mmikir...

No comments: