Wednesday, July 23, 2008

Kenapa malu mengadu diganggu secara seksual?

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
SEBAGAI pekerja wanita, pernahkah anda berasa terganggu atau tidak senang apabila rakan sekerja lelaki sengaja mencuit pipi, tangan, pinggang atau lebih berani lagi, mencubit bahagian tubuh lain dengan sengaja dan berulang kali?

Anda sebenarnya berhak melakukan sesuatu untuk menghentikan gangguan seksual tersebut seperti memberi amaran kepada pesalah laku, membuat laporan kepada Jabatan Buruh, pengurusan syarikat atau polis.

Pada tahun 2006, statistik aduan kes gangguan seksual oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sebanyak 2,023 kes dilaporkan dan 1,646 daripadanya berjaya diselesaikan sementara selebihnya masih dalam siasatan.

Menurut Artikel 4 Kod Amalan 1999, gangguan seksual membawa definisi perlakuan bercirikan seksual yang tidak diingini atau disenangi termasuklah secara lisan, perbuatan, visual, psikologi mahupun secara fizikal.

Ia juga didefinisikan sebagai menyebabkan suatu gangguan terhadap pekerja wanita di tempat kerja dengan mendesak atau mencemuh mereka melalui perbuatan, perkataan atau bukan perkataan yang berbaur lucah dan tidak disenangi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, kebanyakan kes gangguan seksual tidak dilaporkan oleh mangsa kerana beberapa faktor.

Antaranya, rasa malu untuk membuat aduan, bimbang dijadikan bahan sindiran, takut tidak dinaikkan pangkat atau diberhentikan kerja sehingga menyebabkan mangsa terpaksa memendam perasaan dan mengalami tekanan emosi pada akhirnya.

Dalam kebanyakan kes, pekerja wanita sendiri yang memohon untuk berhenti kerja atau tidak datang bekerja kerana terlalu tertekan sehingga mengakibatkan tindakan tatatertib dan pemecatan dikenakan terhadapnya.

Menurut Yen Yen, meskipun sukar, mangsa perlu tampil membuat aduan untuk menyingkirkan persepsi negatif masyarakat terhadap cara mereka berpakaian dan seksualiti wanita berkenaan.

“Mengapa rasa malu, kita tidak mahu perkara itu berterusan sehingga terjadi kes rogol yang merupakan peringkat terakhir gangguan seksual.

“Jika ragu-ragu, berikan amaran kali pertama dan kedua jika anda tidak suka atau terganggu dengan gangguan itu, tetapi kali ketiga anda mesti bertegas membuat aduan kepada pihak atasan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kod Amalan Untuk Mencegah dan Mengendalikan Kes Gangguan Seksual di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Teks yang dihasilkan oleh Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) itu merupakan inisiatif julung kalinya di peringkat IPTA dan kesinambungan kepada Kod Amalan Bagi Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja oleh Kementerian Sumber Manusia pada tahun 1999.

Pada masa ini, Kod Amalan 1999 itu digunakan sebagai garis panduan untuk majikan dan pekerja namun ia tidak mempunyai status undang-undang malah bukan juga akta atau peraturan di bawah mana-mana akta tertentu.

Sejak itu, kerajaan bercadang menukarkan Kod Amalan itu menjadi undang-undang yang boleh digunakan dan memberi impak lebih berkesan kepada masyarakat memandangkan perlaksanaannya kini tidak jelas sama ada dipatuhi dan dilaksanakan atau sebaliknya.

Pada masa yang sama, pertubuhan bukan kerajaan seperti Kumpulan Tindakan Bersama Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG), Sisters in Islam, Women’s Aid Organisations (WAO) dan banyak lagi masih memperjuangkan cadangan Rang Undang-Undang Cadangan Gangguan Seksual.

Cadangan itu antara lain agar mereka yang mengalami gangguan seksual atau menyaksikan peristiwa tersebut boleh membuat aduan kepada badan yang dilantik, tanpa mengira sama ada tempat kerja mereka mempunyai dasar yang tersendiri untuk menangani masalah atau tidak.

Ia bertujuan melindungi pekerja kontrak, pembantu rumah (orang gaji), penuntut, ahli kelab, atlet, pelanggan dan ahli perbadanan perindustrian.

Justeru, kata Yen Yen, tidak hairanlah ramai pekerja wanita tidak menggunakan Kod Amalan itu atau melaporkan kejadian gangguan seksual di tempat kerja.

“Hanya segelintir majikan menyediakan prosedur berkaitan aduan gangguan seksual walaupun perkara ini sebenarnya penting untuk mengurangkan kes gangguan seksual.

“Kita perlu mengkaji apakah faktor yang menghalang mangsa membuat laporan, adakah masalah berkaitan polisi, kesukaran perlaksanaan atau menyimpan maklumat yang rahsia,’’ katanya.

Yen Yen menambah, kementerian itu sedang mengkaji cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mewajibkan semua pegawai atasan Jabatan Sumber Manusia di sektor awam dan swasta mengambil kursus gangguan seksual bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu terbabit.

Jelas beliau, pihaknya akan terus memberikan input kepada Kementerian Sumber Manusia berkaitan perkara itu sehinggalah kesemua syarikat dan agensi mempunyai prosedur masing-masing yang boleh dipatuhi dengan jelas.

“Sekarang, konsepnya ‘terpulang kepada anda’ (untuk membuat aduan) dan perkara ini tidak berkesan langsung.

“Kita mesti mengambil pendekatan serius dalam isu ini, mangsa gangguan seksual mesti diberi kekuatan agar bijak mengambil tindakan melalui saluran betul,’’ katanya.

No comments: