Wednesday, September 24, 2008

Melamin

BENTONG 23 Sept. - Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan secara besar-besaran dan menyeluruh terhadap semua premis termasuk pasar raya yang menjual barangan berasaskan susu di negara ini bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, pemeriksaan drastik itu bertujuan memastikan semua produk berasaskan susu di negara ini tidak dicemari bahan kimia melamin yang dikesan terkandung dalam produk susu yang diimport dari China.

Menurut beliau, tindakan segera itu diambil kerana bahan kimia tersebut kini turut dikesan dalam beberapa produk lain yang menggunakan susu sebagai salah satu bahan campuran.

"Kajian pihak berkuasa Singapura baru-baru ini mendapati melamin turut terkandung dalam sejenis gula-gula berjenama arnab putih.

"Justeru, kita perlu memastikan selain susu bayi, produk lain yang berasaskan susu seperti biskut dan sebagainya tidak tercemar dengan bahan kimia tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Wisma Sri Bentong di sini malam ini.

Pada 20 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Kesihatan telah menempatkan pegawainya di semua enam pintu masuk utama negara ini bagi memastikan larangan mengimport produk susu dari China dipatuhi sepenuhnya.

Melamin yang merupakan bahan kimia industri yang digunakan untuk membuat plastik dan baja, kaya dengan nitrogen apabila dicampur ke dalam susu.

Bahan itu boleh menjadikan tahap protein lebih tinggi daripada yang sepatutnya dan ia diharamkan untuk pengeluaran bahan makanan.

Tiong Lai seterusnya berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur untuk merampas apa juga produk tenusu dari China yang dibawa masuk bagi mengelakkan kemudaratan kepada kanak-kanak di negara ini akibat dicemari bahan kimia melamin.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dalam apa juga perkara membabitkan kesihatan rakyat dan akan sentiasa memastikan semua produk makanan di negara ini selamat.

"Kementerian akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983 sekiranya ada pihak yang masih menggunakan susu dari China sebagai bahan asas produk pengeluaran mereka," tegasnya.

Berhati-hatilah apabila hendak makan atau minum makanan atau minuman berasaskan susu terutama sekali yang diimport dari China

No comments: