Susunan Nurul Adlina Kamaludin
Clara Meadmore dakwa perawan punca usia cecah 105 tahun
RAHSIA umur panjang sering dikaitkan dengan pemakanan yang baik, menjaga kesihatan badan serta faktor genetik. Namun seorang wanita Britain mendakwa rahsia usianya mampu mencecah 105 tahun disebabkan dirinya yang masih perawan!
Inilah kisah pelik tapi benar mengenai status diri Clara Meadmore yang diisytiharkan sebagai anak dara paling tua di Britain setakat ini. Malah, Meadmore yang berasal dari Truro, Cornwall dan baru menyambut hari jadinya yang ke 105 tahun Sabtu lalu, mendakwa tindakannya menjauhi hubungan seks sebagai punca utama usia lanjutnya.
Alasannya - jadual dirinya yang terlalu sibuk selain menganggap hubungan intim dan seterusnya berasmara sebagai sesuatu yang 'melecehkan.'
Lebih pelik, Meadmore yang pernah beberapa kali menolak lamaran, juga tidak pernah menyesal, sebaliknya berbangga menjadi perawan biarpun dirinya kini di ambang hari-hari terakhir kehidupannya.
"Ramai yang bertanya sebab. Tidak kurang menuduh saya tidak siuman atau sukakan teman sejantina. Tapi itu cuma tuduhan liar semata-mata. Hakikatnya, saya tidak pernah berminat atau mengagumi hubungan seks.
"Sudahlah tidak minat, untuk berkawan rapat atau berkasih dengan lelaki juga saya tidak pernah endah. Ini kerana saya menganggap hubungan intim itu melecehkan," kata Meadmore dalam laporan yang mendapat liputan meluas beberapa media tempatan dan antarabangsa, baru-baru ini.
Tanyalah apa saja dengan wanita yang masih kuat daya ingatannya biarpun sudah lanjut usia. Tragedi Titanic dan tercetusnya Perang Dunia Pertama adalah antara perkara yang masih melekat dalam pemikirannya.
Sudah pasti, persoalan khusus status diri yang sudah semestinya lebih diketahui.
"Saya seolah-olah tahu yang saya akan terus menjadi bujang ketika berusia 12 tahun lagi. Pada usia muda, cuma satu perkara yang saya fikirkan iaitu untuk mencari rezeki membantu keluarga.
"Pada tahun 1920-an dan 1930-an, sesiapa yang mahukan seks perlu berkahwin. Itu yang menjadi halangan kerana saya tidak berminat berkahwin ketika itu. Dan nampaknya, itulah nasib saya sehingga ke hari ini," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai setiausaha untuk menampung kehidupannya.
"Tidak kurang pertanyaan serta suara sumbang yang menyoal, apakah saya tidak menyesal untuk tidak merasakan langsung kehidupan berdua, disayangi dan menyintai. Jawapannya, tidak. Saya bangga dan tidak menyesal kerana tidak merasai nikmati berkasih sayang mahu berkahwin kerana inilah jalan yang saya pilih.”
Baginya, perhubungan mesra itu memerlukan masa dan tenaga - sesuatu yang tidak pernah diutamakan ketika masih bergelar gadis.
"Saya tidak pernah mempunyai teman lelaki kerana tidak menganggapnya satu keperluan utama. Bagi saya, sebagai remaja pada era 1920-an, persepsinya adalah kita hanya mengadakan hubungan seks dengan suami. Bagaimana saya mahu menikmatinya jika tidak pernah berteman lelaki atau pun berkahwin!"
Meadmore, dilahirkan di Glasgow pada 1903, kira-kira dua tahun selepas kematian Ratu Victoria, mengakui tindakannya menjauhi seks tidak bererti beliau tidak pernah didekati lelaki.
"Biarpun pada era lama, tetapi kami pada masa itu masih berpeluang berkawan dan bergaul dengan lelaki, cuma segala-galanya terbatas. Kawan pun sekadar kekal di tahap sahabat dan tidak pernah lebih daripada itu. “Tetapi inilah kekurangan yang berlaku pada hari ini. Semuanya kelihatan sebegitu pantas. Saya tidak berapa mengenali anak muda zaman ini tetapi saya yakin pendirian mereka hari ini jauh berbeza dengan remaja pada era saya.”
Keluarga Meadmore berhijrah ke Mesir, Kanada dan seterusnya New Zealand ketika beliau berusia tujuh tahun. Namun Meadmore, kembali semula ke Britain, seorang diri, pada usia 20-an.
Beliau terpaksa menyara kehidupannya dengan bekerja sebagai setiausaha dan pembantu rumah. Ketika inilah, Meadmore menerima beberapa lamaran perkahwinan yang ditolaknya secara baik.
"Bagi saya, mungkin zaman saya membesar menyebabkan saya melihat kehidupan daripada perspektif berbeza. Ketika itu, rama gadis pingitan dan sukar dilihat sedangkan saya lebih berminat bekerja. Ini menyebabkan lelaki tidak sukakan wanita berani seperti saya. Masa berlalu dan saya terbukti sudah terlalu tua untuk berkahwin!" katanya berseloroh.
Apakah yang dilakukan bagi mengisi masa terluangnya? "Saya membaca, berkebun, beriadah, memasak dan mendengar radio."
Beliau tidak pernah menyesal tidak bersuami, beranak dan bercucu biarpun terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Rumah Orang Tua Perran Bay, dengan status perawan paling tua di Britain setakat ini.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment