Tuesday, November 18, 2008

Minyak Turun 15 sen lagi

Oleh HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 17 Nov. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga minyak sebanyak 15 sen berkuat kuasa esok, kali kelima sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penurunan itu berkata, petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.
Serentak itu, beliau meminta para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak supaya orang ramai mendapat manfaat sepenuhnya.
‘‘Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi harga runcit petrol dan diesel sejajar dengan penurunan harga minyak dunia yang berterusan.
‘‘Ini merupakan penurunan yang kelima sejak Ogos 2008, sebagaimana janji kerajaan untuk menurunkan harga jika ada penurunan dalam pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$55.85 (RM195).
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut berharap para pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harga bahan bakar itu telah turun.
‘‘Ini selaras dengan hasrat kita memastikan penggunaan tenaga yang efisien,” katanya.
Harga minyak petrol dan diesel telah mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter, ketika kadar inflasi bagi bulan Ogos meningkat kepada 8.5 peratus, manakala diesel sebanyak lapan sen menjadikannya RM2.50 seliter.
Pada 24 September lalu, kerajaan sekali lagi mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 dikurangkan 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter.
Pada 14 Oktober pula, kerajaan menurunkan harga runcit petrol sebanyak 15 sen dan 20 sen bagi diesel ketika harga minyak mentah dunia berlegar sekitar AS$77 setong.
Terakhir, kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen pada hujung bulan lalu, menjadikan harga runcit dua bahan api itu masing-masing pada kadar RM2.15 dan RM2.05 seliter.

No comments: