Wednesday, December 3, 2008

Turun 10 sen lagi

Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 2 Dis. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini bagi membolehkan rakyat menikmati penurunan harga bahan api dunia yang turun secara ketara akhir-akhir ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.

‘‘Oleh kerana harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya,” kata beliau.

Ini merupakan penurunan harga minyak kali keenam sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia.

Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.64 (RM172.93) setong.

No comments: