Wednesday, July 23, 2008

BUANG SIKAP CURIGA TERHADAP MUZAKARAH

KETIKA usaha-usaha mengadakan muzakarah antara UMNO dan Pas berhubung pelbagai isu membabitkan orang Melayu dan Islam di negara ini semakin hampir menjadi kenyataan, jangan perselisihan pendapat membantutkannya.

Muzakarah antara kedua-dua parti Melayu itu sesuatu yang baik dan digalakkan oleh Islam.

Memang Pas pernah menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 hingga 1978.

Kebimbangan pengalaman lalu mungkin berulang sepatutnya tidak menjadi halangan utama untuk kedua-dua pihak duduk berbincang.

Muzakarah ini adalah satu usaha demi kebaikan orang Melayu dan Islam serta negara pada amnya.

Kebimbangan bahawa muzakarah itu akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan ahli-ahli Pas dan keretakan hubungan dengan Pakatan Rakyat bergantung kepada matlamat politik masing-masing.

Dalam soal ini, semua pihak perlu realistik dan menerima perubahan semasa. Kita tidak perlu takut dalam memperjuangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Soal-soal politik walaupun penting, perlu diketepikan buat sementara waktu.

Kita juga tidak boleh terlampau berprasangka terhadap perkara-perkara yang baik. Elakkan tafsiran-tafsiran negatif mengenai niat baik ini.

Kita bimbang, jika banyak tafsiran, akan berlaku kekeliruan dan akhirnya menimbulkan fitnah.

Sehubungan itu, halangan-halangan untuk menuju 'jalan yang lurus' perlu dibuang jauh-jauh. Umat Melayu dan Islam di negara ini tidak mampu lagi untuk terus berpecah dan bermusuhan.

Dalam hal ini, yang penting ialah keikhlasan di hati pemimpin-pemimpin kedua-dua parti ini. Cakaplah apa sahaja mengenainya tetapi matlamat pertemuan perpaduan Melayu itu perlu menjadi keutamaan.

Satu titik penyelesaian masalah kerapuhan perpaduan yang menghantui bangsa Melayu ini perlu segera dicari.

Buang seketika pertimbangan-pertimbangan kepartian ketika membicarakan tentang perpaduan Melayu/Islam ini. Fokus harus kepada kepentingan bangsa dan agama, tidak yang lain.

Tidak ada lagi pihak lain yang boleh diletakkan harapan untuk perpaduan Melayu dan agama Islam ini kecuali UMNO, sebuah parti bertunjangkan Melayu dan Pas, yang penubuhannya bertujuan memperjuangkan Islam.

Kedua-dua perkara utama itu amat relevan dalam keadaan sekarang. Apabila Melayu semakin goyah, maka dengan sendirinya Islam akan turut menerima tempiasnya. Dengan perkataan lain, jika Melayu lemah, Islam tercabar.

Sehubungan itu, sekali lagi ditekankan bahawa, muzakarah yang dicadangkan itu perlu diteruskan demi kepentingan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat negara ini.

Lagipun, isu perpaduan Melayu bukan perkara baru, malah telah berlarutan sejak sekian lama. Ia perlu diselesaikan segera. Jangan nanti kita diketawakan kerana semangat 'hangat-hangat tahi ayam.'

No comments: