Wednesday, July 23, 2008

HARGA SIMEN SEMASA

ARKIB : 12/07/2008
Harga simen naik RM150 sekampit di utara Sarawak

MIRI 11 Julai - Harga bagi satu beg simen di utara Sarawak kini antara RM75 hingga RM150, iaitu yang tertinggi dilaporkan setakat ini.

Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong berkata, ini berikutan dengan kenaikan harga diesel dan petrol yang menyebabkan penduduk di sekitar Lawas, Ba'kelalan dan Bario terpaksa membeli simen pada harga itu.

Beliau yang tidak menyatakan harga bahan binaan tersebut sebelum ini berkata, penggunaan pesawat kecil yang terbang ke kawasan itu untuk mengangkut pelbagai barangan dan keperluan juga menyumbang kepada kenaikan harga simen.

"Di pekan Lawas harga sekampit beg simen adalah RM75 dan harga tersebut akan terus naik hinggalah kepada RM150 yang merangkumi caj pengangkutan apabila sampai di Bario.

"Kapasiti pesawat yang kecil turut menyukarkan penghantaran bahan binaan dan juga pelbagai barangan keperluan hingga kesemua harga barangan di kawasan ini semakin hari harganya bertambah mahal," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tidak dinafikan kenaikan harga bahan api baru-baru ini menjadi penyebab utama harga barangan pengguna dan bahan binaan naik mendadak.

"Tak usah cakap harga diesel dan petrol yang melambung hingga RM8 seliter, harga barangan keperluan seperti makanan juga melambung tinggi.

"Situasi ini boleh dikatakan amat sukar untuk dihadapi rakyat di kawasan ini yang rata-ratanya hanya bertani," kata beliau.

Katanya, kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu bagi mengekang tindakan penjual yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terkawal sesuka hati.

"Oleh itu, kita minta supaya ditubuhkan pejabat cawangan kementerian itu di Lawas agar mereka boleh menjalankan tugas dengan lebih cekap berbanding sekarang," katanya.

Menurut Henry, ketiadaan pejabat cawangan kementerian itu di Lawas memberi banyak ruang kepada peniaga untuk bertindak menaikkan harga barang sesuka hati.

"Setakat ini pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan oleh kakitangan dari daerah Limbang yang jelas tidak begitu cekap dari segi mengawal pasaran tempatan kerana jadual yang tidak tetap," jelasnya.

Dalam pada itu, Henry menegaskan tumpuan akan terus diberikan dalam menyediakan kemudahan asas termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya di kawasan utara Sarawak.

Katanya, kesemua perkara tersebut merupakan antara suara rakyat yang diketengahkan beliau semasa persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Turut dikemukakan beliau di Parlimen ialah status projek lampu jalan yang terhenti sejak 3 tahun lalu dan permohonan untuk meneruskan semula projek tersebut.

Selain itu, beliau memohon kementerian berkaitan supaya menyatakan jumlah orang miskin di daerah Lawas.

Perkara lain yang ditekankan beliau di Parlimen termasuklah projek pembinaan jalan raya dari Lawas ke Ba'kelalan yang telah mendapat kelulusan dengan peruntukan berjumlah RM12.5 juta.

Beliau memberitahu, peruntukan tersebut tidak setimpal dengan kos pembinaan sebenar yang dianggarkan lebih RM130 juta.



Harga pasaran di Kelantan masa ini adalah RM 18.00 hingga RM 20.00. Nampaknya bajet Banglow akan bertambah beratus kali ganda.

No comments: