Tuesday, July 22, 2008

Mercedes Tidak Sesuai Semangat Jimat berbelanja

MENTERI Besar Terengganu menegaskan bahawa wang royalti minyak tidak digunakan untuk pembelian 14 kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi baru anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Bermakna peruntukan wang kerajaan negeri akan digunakan untuk membeli kereta mewah itu.

Datuk Ahmad Said boleh membuat penjelasan bahawa kerajaan negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive terlalu tinggi kerana ia mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Sekiranya kos penyelenggaraan Proton Perdana tinggi, kenapa tidak diganti dengan kereta tersebut yang baru.

Tidakkah kos menggunakan kereta Mercedes lebih tinggi daripada Proton Perdana kerana ia kuat 'menelan' petrol. Begitu juga kos untuk menyelenggara kereta mewah itu.

Lupakah pemimpin negeri bahawa Proton Perdana adalah kereta nasional dan menjadi kenderaan rasmi kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri sejak 1998. Ketika itu negara kita turut dilanda krisis kewangan Asia.

Kini negara berdepan dengan masalah kenaikan harga minyak dunia yang menyebabkan semua harga barangan dan perkhidmatan melambung tinggi.

Oleh itu, kerajaan negeri Terengganu usah memberi persepsi yang 'salah' kepada rakyat terhadap hujah pembelian kereta mewah itu.

Rakyat disuruh berjimat dan tidak boros ketika berbelanja, tetapi apa yang ditunjukkan oleh pemimpin.

Sebagai pemimpin baru di peringkat negeri, mungkin beliau mahu memberi semangat baru kepada anggota Exco dan pemimpin kerajaan negeri dalam menyumbang khidmat bakti kepada rakyat Terengganu.

Tetapi dari sudut pandangan yang lain, tindakan itu tidak begitu kena dengan semangat semasa. kerajaan negeri Terengganu diharap tidak menyongsang arus ketika kerajaan Pusat dan negeri-negeri lain mengambil langkah-langkah penjimatan dalam menghadapi kesan kenaikan harga minyak global.

Walaupun Terengganu merupakan negeri pengeluar minyak negara ini dan bakal mendapat kembali wang royalti minyak, pemimpin di pejabat Darul Iman harus meneropong masalah rakyat.

Dahulu pemimpin ada berjanji akan mengutamakan hal-hal yang berkaitan dengan rakyat. Jadi, untuk bertemu rakyat sebenarnya tidak perlu pun menaiki kereta Mercedes?

Pelbagai sebab boleh diberikan tetapi langkah tidak bijak itu tidak kena dengan semangat sekarang. Jangan rosakkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dengan langkah yang sepatutnya tidak diambil pada ketika ketidaktentuan ekonomi pada masa ini.

Kerajaan negeri Terengganu masih boleh membatalkan hasrat membeli kereta itu sebelum persepsi rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional berubah.

No comments: