Wednesday, September 10, 2008

‘Mak Andam’ diberkas di Perak

KUANTAN 9 Sept. – Suspek utama yang dipercayai terlibat dalam enam kes penipuan pasangan pengantin di bandar ini berjaya ditahan polis di sebuah pusat peranginan dekat Taiping, Perak pukul 4 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritendan Zaini Jass berkata, suspek berusia 31 tahun beralamat di Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka itu ditahan di pusat peranginan tersebut dengan bantuan polis Perak.

“Turut ditahan bersamanya ialah rakan lelakinya berumur 20-an. Polis percaya kes penipuan tersebut dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Enam pasangan pengantin di bandar ini kerugian RM65,255 setelah didakwa ditipu oleh suspek yang mendakwa dirinya menyediakan pelbagai khidmat berkaitan perkahwinan menerusi sebuah butik di Kompleks Teruntum di sini.

Semua kes itu dilaporkan berlaku Mei dan Jun lalu.

Zaini berkata, suspek dibawa ke Kuantan hari ini bagi membolehkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jenayah di bawah seksyen itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta sebatan jika sabit kesalahan.

Ahad lalu, polis mengedarkan gambar seorang lelaki bernama Azman Abu yang dicari untuk membantu siasatan kes itu.

Bukan senang nak senang, bukan payah nak payah, jangan tipu orang.

No comments: