Thursday, September 11, 2008

SEKS BEBAS

Seks bebas bukti cinta makin membimbangkan

KOTA BHARU 10 Sept. - Fenomena hubungan seks bebas bagi membuktikan cinta sehingga melahirkan anak luar nikah kini cukup membimbangkan kerana jumlahnya kian meningkat.

Penyelaras Unit Pembangunan Kesihatan Wanita Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zaharah Sulaiman berkata, gejala itu berlaku kerana ada kaitannya dengan kekeliruan golongan remaja tentang cinta daripada pandangan Islam dan kejahilan terhadap aspek reproduksi.

"Ia mudah menyebabkan remaja terdorong ke arah maksiat biarpun dalam usia terlalu muda sedangkan mereka akan berhadapan dengan risiko yang mungkin memusnahkan masa depan sendiri," katanya.

Dr. Zaharah berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang-Sembang Cinta Remaja serta Kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) di Kampus Kesihatan USM di sini kelmarin.

Program itu dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Prof. Ahmad Zakaria yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan USM dan dihadiri oleh 800 pelajar serta 60 guru kaunselor daripada 20 buah sekolah menengah sekitar Kota Bharu dan Bachok.

Program itu dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Pusat Bimbingan Remaja Raudhatus Sakinah Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Beliau berkata, gejala seks bebas memberi kesan lebih buruk dengan kehamilan tidak dirancang yang menyebabkan gangguan emosi, kemurungan, membunuh diri, pembuangan bayi, kelahiran yang tidak selamat serta jangkitan penyakit kelamin.

Katanya, dengan adanya program ini, ia bertujuan membantu remaja memahami cinta dari kaca mata Islam yang sebenar di samping memberi pendedahan kepada guru-guru dan kaunselor cara menangani masalah sosial di sekolah.

Program sehari itu juga membincangkan pelbagai perspektif tentang peranan dan tanggungjawab masyarakat dalam menangani masalah sosial untuk mewujudkan kesedaran tentang bahaya zina khususnya di kalangan remaja.

Dr. Zaharah yang juga pengarah program itu berkata, keadaan bertambah sulit disebabkan para ibu bapa dan orang dewasa merasa kekok dalam membincangkan secara terbuka mengenai aspek tanggungjawab reproduksi dan seksual dengan anak remaja mereka sendiri.

''Kejahilan inilah yang menyebabkan ramai remaja lebih banyak terjebak tanpa pendedahan awal mengenai seks.

''Sebaliknya, kajian lepas menunjukkan remaja bermaklumat merendahkan risiko untuk mereka melakukan hubungan seks pada usia yang muda, tidak mempunyai pasangan yang ramai dan tidak terlibat dengan perlakuan seks yang berisiko," katanya.

Asas agama tu penting, kalau kukuh ibubapa tak risau nak lepaskan anak kemana saja.

No comments: