Thursday, October 9, 2008

Kenaikan harga barang cetus kegelisahan rakyat

KEMELUT kenaikan harga barang sudah dianggap keterlaluan. Peniaga seperti punya kebebasan mutlak untuk menetapkan harga barang. Tidak nampak akan ada bunga-bunga kemelut ini akan berakhir untuk memberi sedikit kelegaan kepada masyarakat pengguna.

Kuasa pengguna sudah tidak relevan lagi kerana barangan yang mengalami kenaikan harga itu merupakan barang- barang keperluan yang tinggi permintaannya setiap hari.

Kita amat kecewa dengan sikap peniaga yang langsung tiada belas kasihan menekan pengguna. Golongan peniaga sudah melakukan sesuatu yang di luar dugaan sepanjang bulan Ramadan lepas. Menjelang musim perayaan harga barang terus menunjukkan peningkatan.

Alasan kenaikan harga minyak yang mendorong kenaikan harga barang adalah satu pembohongan golongan peniaga. Mereka sudah boleh dikategorikan golongan pencekik darah yang terus-menerus menekan pengguna.

Mereka punya kebebasan yang tidak mampu dihalang untuk menetapkan harga barang pada paras yang menguntungkan.

Golongan berpendapatan rendah terus diancam kegelisahan lantaran kuasa membeli yang semakin kurang.

Golongan pemborong dan peniaga sudah cekap dan mahir untuk mencipta alasan kenapa harga barang perlu dinaikkan.

Kos pengangkutan dijadikan alasan utama untuk dikaitkan dengan harga barangan. Jika kenaikan harga minyak dijadikan alasan mungkin kita dapat bertolak ansur.

Tetapi apa jadi kepada harga barang ketika kerajaan sudah dua kali menurunkan harga bahan bakar itu. Golongan peniaga seakan-akan tidak sedar harga minyak sudah diturunkan.

Harga jualan masih kekal malah semakin naik dan kesempatan musim perayaan dijadikan pentas untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

Harga barang yang melambung akan menjadikan rakyat semakin tertekan. Kos hidup turut naik sedangkan pendapatan tidak dapat ditingkatkan dalam masa yang singkat.

Kegelisahan rakyat akan mendorong perlakuan lain yang boleh mencetuskan situasi tidak stabil negara.

Kita mempersoalkan peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui unit penguatkuasaannya dalam membanteras kerakusan peniaga mengaut keuntungan dengan meletakkan harga di luar dugaan ini.

Apakah unit itu berasa takut untuk turun sekerap yang mampu ke lapangan bagi melihat sendiri situasi harga barangan ketika ini.

Kita merayu kepada semua pegawai di KPDNHEP supaya lebih kerap meninggalkan keluarga untuk turun padang. Jangan hanya memilih lokasi sekitar ibu kota saja untuk dijadikan asas pemantauan. Kenaikan harga barang bukan berlaku di satu dua lokasi terpilih tetapi ia masalah negara dan berlaku di seluruh pelosok negara.

Kami sebagai rakyat ingin sekali melihat kelibat menteri dan para pegawai KPDNHEP di lokasi jauh dari ibu kota. Turun dan tinjaulah harga barang di bandar-bandar kecil yang tidak punya pasar raya-pasar raya besar.

Pengguna kawasan ini lebih tertumpu berbelanja di pekan-pekan sehari, pasar malam atau di kedai-kedai runcit yang langsung tidak mematuhi etika jual beli.

Kenaikan harga barang akan menerbitkan kerisauan dan kegelisahan rakyat. Kita bimbang rakyat akan berprasangka tidak baik kepada kerajaan kerana tidak melihat isu kenaikan harga barang secara serius.

Rakyat akan melabelkan KPDNHEP sebagai sebuah kementerian yang tidak ada kekuatan dan berprestasi lemah.

ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM

Pendang, Kedah

No comments: