Monday, October 20, 2008

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) telah membuat bantahan rasmi tentang penganugerahan gelaran Datuk kepada pelakon India, Shah Rukh Khan oleh kerajaan negeri Melaka.

Saya langsung tidak berminat untuk mempertikaikan penganugerahan Datuk kepada pelakon India ini. Tambahan pula anugerah itu adalah kuasa kerajaan negeri, siapa yang dianggap layak (bukan difikirkan layak), berhak diberi gelaran waima lebih tinggi daripada Datuk.

Malah secara tidak langsung, gelaran pada zaman moden ini bukanlah kayu ukur ketinggian sumbangan kepada bangsa dan negara. Jadi, anugerah Datuk itu tidak wajar menjadi isu. Saya juga berfikir, seniman tidak seharusnya memperlihatkan bantahan secara rasmi kerana membantah kepada perkara-perkara yang seremeh ini hanya akan menjatuhkan imej Seniman yang sebenarnya jauh lebih tinggi berkali-kali ganda daripada pelakon India itu. Seniman sewajarnya bercakap tentang program "lari dalam guni" atau "acara meniup belon" yang ternyata jauh lebih relevan daripada isu si pelakon ini.

Seniman jangan ikut menjadi remeh dengan mempertikaikan perkara-perkara remeh. Ini kerana banyak lagi pelakon India yang popular di negara ini dan tidak mustahil masa akan datang banyak lagi gelaran yang diberikan kepada pelakon-pelakon ini. Jadi Seniman dan persatuan artis yang lain sebaik-baiknya berdiam diri dan melihat dari jauh saja sekian banyak perkara-perkara aneh yang berlaku.

Shah Rukh Khan tidak ada kena mengena dengan dunia kesenimanan negara ini. Maka apa saja yang berlaku kepada pelakon India ini bukanlah kudis yang akan mencemarkan dunia kesenimanan tempatan.

Kita mempunyai sejumlah seniman yang jauh lebih berfikiran tinggi daripada Shah Rukh Khan. Pelakon-pelakon kita lebih berwibawa dan tidak seharusnya pelakon (sebenarnya bukan pelakon pun) seperti Shah Rukh Khan mengocak ketinggian seniman kita.

Cuma satu saja yang dibimbangkan apabila pelakon India yang tidak seberapa ini diangkat sebagai hebat. Ini memberikan seolah-olah tanda kecemerlangan dan masyarakat melihat tanda itu ada kepada Shah Rukh Khan.

Sangat malanglah kalau ada kalangan masyarakat yang berfikir sedemikian. Saya berharap masyarakat hanya menganggap gelaran itu tidak lebih sebagai berita kaki yang seharusnya dibaca secara santai dan tidak berfikir serius mengenainya. Kalau kita mencari perkara-perkara aneh di dunia, jangan lupa masukkan Datuk Shah Rukh Khan.

E-mel: cp@galaxystudio.tv

No comments: