Thursday, October 16, 2008

Mandul

KEBIASAANNYA, apabila pasangan itu berkahwin, akan tersedar pada satu masa untuk mereka menambah bilangan ahli keluarga. Namun, apabila gagal untuk menghasilkan zuriat, tentu pasangan berkenaan bergegas untuk mencari penyelesaian.

Ujian boleh dilakukan untuk mencari punca kepada permasalahan tersebut dan berdasarkan kepada keputusan ujian, doktor boleh mencadangkan penyelesaian.

Pasangan dikatakan mungkin mandul sekiranya isteri belum boleh mengandung walaupun telah mencuba selepas enam hingga 12 bulan.

Bagaimanapun, julat bulan ini bergantung kepada banyak faktor seperti umur isteri, umur suami dan juga berapa lama pasangan telah mencuba tetapi masih buntu.

* Persenyawaan

Bagi isteri atau puan-puan yang mempunyai julat haid 28 hari, benih (telur) mula dikeluarkan dari ovari pada masa 14 hari selepas bermulanya haid.

Persenyawaan boleh berlaku dalam tempoh 12 hingga 24 jam selepas waktu tersebut sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan.

Bila ejakulasi berlaku pada suami semasa hubungan kelamin, sperma boleh hidup sehingga tiga hari untuk tujuan persenyawaan dengan benih dari ovari.

Persenyawaan lazimnya berlaku di hujung tiub fallopian. Hasil dari persenyawaan ini kemudian akan bergerak sepanjang tiub fallopian untuk diimplantasikan di dinding rahim. Sekiranya proses-proses ini terbantut, kemandulan mungkin berlaku.

Secara ringkasnya, kemandulan berlaku sekiranya salah satu dari perkara di bawah mengalami kecacatan;

* Suami mempunyai bilangan sperma yang kurang dan juga kecacatan parameter-parameter air mani yang lain.

* Benih tidak dapat dikeluarkan dari ovari.

* Tiub fallopian tersumbat ataupun kecacatan morfologi tiub seperti hujung fimbria yang abnormal.

Lazimnya, kaitan masalah kemandulan untuk wanita adalah sebanyak 65 peratus, 20 peratus untuk lelaki dan 15 peratus atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Umur pasangan juga boleh mengubah tahap kesuburan. Kebiasaan peratusan kehamilan adalah sebanyak 20 peratus setiap bulan.

Peratusan kehamilan ini akan mula menurun apabila melewati umur 20an dan 30an. Penurunan semakin ketara tatkala melangkaui umur 35 tahun.

Kadar kesuburan suami juga sedemikian tetapi dengan kadar kemerosotan yang lebih perlahan. Kerana faktor umur inilah pasangan tidak perlu menunggu enam hingga 12 bulan untuk mencari penyelesaian ke arah kehamilan.

Suami juga mungkin mempunyai permasalahan dengan jumlah serta bilangan sperma yang mungkin berpunca daripada gangguan hormon.

Paras hormon juga boleh mengganggu kesuburan wanita apabila ovari tidak terangsang secukupnya dengan paras hormon yang bercelaru.

Pemakanan yang tidak seimbang, anoreksia dan berat badan berlebihan juga mungkin menimbulkan masalah kesuburan.

Selain itu, jangkitan penyakit (lelaki atau wanita) yang disebarkan melalui hubungan seks, terutamanya hasil seks bebas, juga mungkin memudaratkan keupayaan untuk hamil.

* Penilaian

Penilaian ke atas puan bergantung kepada beberapa faktor, contohnya umur dan juga keadaan pasangan serta tempoh lamanya puan berusaha untuk mengandung.

Puan serta suami akan berjumpa dengan doktor sebagai pasangan individu dan bukannya secara berasingan untuk:

* Pemeriksaan fizikal dan juga perubatan terutamanya ke arah sistem yang melibatkan perjalanan hormon-hormon utama wanita.

* Analisa cecair seminal (air mani) suami

* Ketentuan proses ovulasi seperti pemeriksaan darah untuk hormon-hormon.

* Ujian penentuan sama ada tiub fallopian tersumbat atau tidak

* Perbincangan kekerapan hubungan kelamin dan penentuan sama ada hubungan kelamin dilakukan pada waktu subur ataupun tidak.

* Penilaian pada suami

Suami perlu memberikan sedikit sampel air mani untuk dianalisa dan mungkin memerlukan beberapa sampel berasingan sekiranya doktor mendapati hasil keputusan yang tidak sekata.

Analisa cecair seminal (air mani) merangkumi bilangan sperma, bentuk-bentuk sperma, pergerakannya dan juga bukti-bukti jangkitan kuman, jika ada.

Sekiranya berlaku keabnormalan, suami puan akan dirujuk pada doktor yang membuat pengkhususan khas urologi iaitu disiplin yang dikenali sebagai ‘Sakit Tuan’.

* Penilaian pada isteri

Doktor akan memulakan pemeriksaan dengan pemeriksaan fizikal dan juga sejarah tahap kesihatan puan sebelum ini.

Sejarah kesihatan difokuskan kepada:

* Sejarah peredaran haid bulanan.

* Sejarah mengandung lampau termasuklah keguguran.

* Sejarah perawatan penyakit tularan seks.

* Sejarah penggunaan alat pencegah kehamilan.

Semasa pemeriksaan, mungkin ujian awal barah pangkal rahim, pap smear dan juga ujian darah lain akan dijalankan untuk penentuan kesediaan fungsi ovari.

* Penentuan benih keluar dari ovari (ovulasi)

1. Ujian ovulasi air kencing. Ujian ini mengesan pengeluaran hormon ‘Luteinizing’, yang berperanan dalam mencetuskan pengeluaran benih untuk disenyawakan.

Positif bermakna pengeluaran benih akan dikeluarkan oleh ovari dan hubungan kelamin perlu diadakan sekiranya kehamilan dikehendaki. Ujian ini juga kadangkala digunakan bersama ujian suhu badan basal.

2. Ujian suhu badan basal menyukat kenaikan serta perubahan suhu badan akibat perubahan hormon wanita.

Penyukat jangka suhu khas digunakan dan penyukatan perlu dilakukan pada waktu pagi sebaik sahaja bangkit dari tidur. Aktiviti ini perlu diteruskan sehingga dua atau tiga kitaran haid.

* Tatacara pemeriksaan yang mungkin dilalui

Puan melalui beberapa tatacara pemeriksaan untuk menentukan penghasilan benih berlaku, dan juga pemeriksaan terhadap kedua-dua tiub fallopian.

Serentak bergantung pada jenis pemeriksaan, keabnormalan anatomi sistem reproduksi juga akan ditentukan.


Penyiasatan histerosalfingografi (HSG). Tatacara ini melibatkan imbasan sinar-X yang menunjukkan suasana dalaman rahim dan juga sama ada tiub fallopian tersumbat atau tidak. Tatacara ini tidak memerlukan pembedahan dan puan tidak perlu bermalam di hospital.

Bahan pewarna yang tidak telus sinar-X juga akan dimasukkan melalui pangkal rahim dengan isipadu tertentu dan akan dibiarkan mengalir ke dalam rahim dan seterusnya ke dua-dua tiub fallopian. Pengimejan dilakukan dengan julat-julat masa tertentu.

Pemeriksaan ultrasound transvaginal. Satu alat khas ultrasound yang dimasukkan ke dalam faraj untuk melihat organ rahim dan juga benih-benih yang dihasilkan di dalam kedua-dua ovari.

Histeroskopi.

Satu alat teleskop khas yang dimasukkan melalui pangkal rahim untuk menyiasat persekitaran dalam rahim dan seterusnya mengambil contoh tisu untuk kajian lanjutan.

Laparoskopi.

Penyiasatan ini memerlukan alat teleskop khas dimasukkan ke rongga abdomen puan. Biasanya dimasukkan melalui pusat, visualisasi anatomi reproduksi puan dipermudahkan dengan kehadiran gas karbon dioksida yang bertujuan untuk mengembangkan dinding abdomen.

Keabnormalan anatomi mungkin boleh dipulihkan. Tiub fallopian juga diperiksa dengan menggunakan bahan pewarna khas yang dimasukkan melalui pangkal rahim dan diperhatikan sama ada tiub tersebut tersumbat ataupun tidak. Masalah seperti endometriosis juga boleh dikenalpasti melalui kaedah ini.

Dinasihatkan supaya puan tidak mendapatkan rawatan kehamilan yang mencurigakan atau sebelum menjalani pemeriksaan rapi kerana masa dan juga kaedah yang tidak betul hanya akan merumitkan keadaan.

Berjumpalah dengan mana-mana doktor pakar perbidanan dan sakit puan untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Pengambilan pil-pil kesuburan secara berpanjangan dan tanpa penentuan ovulasi juga boleh memberikan implikasi teruk kepada puan.

Dengan kemajuan zaman maklumat kini, sebarang maklumat mengenai kemandulan boleh diperoleh dengan mudah, dan sekiranya pemahaman lanjut diperlukan, berbincanglah dengan doktor puan.

Jenny : Kita merancang tuhan menentukan,rezeki insyallah ada, terus berusaha hingga titisan yang terakhir

No comments: