Thursday, October 16, 2008

Raffi Hussien bersemadi di hari lahir

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my

RAFFI HUSSAIN
(1959 - 2008)


SEMALAM, seharusnya menjadi hari yang bahagia buat seniman berjiwa besar, Raffi Hussain kerana ia merupakan hari ulang tahun kelahirannya ke-49.

Dan sudah tentu, isteri, anak-anak dan seluruh kaum keluarga aktor itu tidak mahu ketinggalan daripada menyatakan hasrat dan memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana memberi kesempatan kepada Raffi untuk bernafas sehingga ke usia sedemikian.

Namun, ajal dan maut di tangan Tuhan. Sudah menjadi hukum dunia, kehidupan regunya kematian.

Begitu juga dengan ketentuan Ilahi buat Raffi. Dia dipinjamkan buat sementara waktu di muka bumi ini untuk berkongsi kasih dan kebahagiaan bersama keluarganya.

Hakikatnya juga, sudah tertulis di loh mahfuz, kehidupan pelakon yang begitu masyhur sekitar tahun 1980-an itu menemui titik noktahnya sehari sebelum ulang tahun kelahiran selepas sesak nafas.

Dan semalam yang sepatutnya menjadi hari gembira buat keluarga Allahyarham bertukar menjadi kesedihan kerana Raffi berangkat ke kehidupan baru yang kekal dan abadi.

Anak seni unik ini pernah hadir memeriahkan pentas seni tanah air.

Meminjam karakter legenda Hollywood, Elvis Presley sebagai pengenalan diri, Raffi Hussain memahat nama sebagai artis yang unik dan tersendiri.

Lakonannya sebagai remaja nakal dalam filem Azura pula akan sentiasa menjadi ingatan ramai.

Namun kini, nama Raffi hanya akan terus kekal dalam direktori industri hiburan sebagai antara pejuang seni yang memiliki iltizam yang begitu tinggi terhadap kerjaya yang diceburinya.

Semua itu diterjemahkan oleh Allahyarham menerusi keazaman dan cita-cita besarnya menerbitkan filem The Chini menerusi syarikatnya, Raffi Hussain Corporation.

Hampir lapan tahun Allahyarham menjaja ideanya untuk menghasilkan filem The Chini selain tidak pernah segan memohon pelbagai pinjaman semata-mata untuk memastikan hasratnya direalisasikan.

Sehinggalah pada 21 Ogos lalu, kekecewaan dan kesedihan Allahyarham bertukar menjadi gembira apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) meluluskan pinjaman RM1.5 juta untuk membolehkan Raffi menerbitkan filem itu.

Dalam temu bual terakhir dengan majalah hiburan popular, URTV (terbitan Kumpulan Utusan) edisi 15 Julai lalu, Allahyarham Raffi bercerita mengenai hasratnya untuk memastikan filem itu dihasilkan tahun ini juga.

Selama menanti jawapan positif daripada pihak-pihak yang berwajib, Raffi tampil dengan imej berjambang dan rambut yang panjang.

"Selama ini imej saya berambut panjang dan menyimpan jambang itu kerana bernazar. Saya berniat, selagi tak dapat surat pinjaman wang untuk terbitkan filem dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) selagi itulah, saya tak akan cukur jambang atau memotong rambut.

"Lepas dapat surat daripada Finas terus saya botak dan cukur jambang saya sebagai tanda kesyukuran," cerita Allahyarham mengenai imejnya yang berubah sebagai tanda nazarnya selepas mendapat khabar gembira itu.

Pada awal kemunculannya, penyanyi dan pelakon terkenal ini pernah dilabelkan sebagai lelaki paling berani kerana imej yang ditonjolkannya.

Artis serba boleh ini juga pernah diberi gelaran Elvis Presley Kelantan hanya kerana kehebatannya bergaya dan menyanyi seperti penyanyi legenda dunia itu.

Barangkali juga ramai yang tidak sedar, selama hampir 15 tahun, Allahyarham Raffi berdiam diri kerana mencari ilham untuk filem sulung yang bakal diarahkan dan diterbitkannya itu.

"Pada awalnya orang tak percaya dengan kebolehan saya untuk mengarah filem ini.

"Itu sebabnya saya ambil masa yang lama untuk yakinkan (Finas) dan kementerian bahawa saya memang ada bakat untuk mengarahkan filem tersebut," luah Allahyarham Raffi lagi.

Sepanjang bergelar pelakon, selain Azura, antara filem lain yang dibintangi Allahyarham Raffi ialah Di Ambang Kasih, Tujuh Biang Keladi, Mr. Os, Si Jantung Hati dan Hero.

Seniman yang pada usia mudanya terkenal kerana ketampanannya itu juga pernah popular dengan lagu Luka Lama Berdarah Kembali dan Satu Percintaan.

Sebagai penyanyi, Raffi pernah muncul dengan tiga buah album iaitu Raffi 1 pada tahun 1981, Raffi 2 (1983) dan sebuah album kompilasi (1984).

Dalam kehidupan peribadinya, Allahyarham Raffi yang mengahwini Zaiinuni Mohd. Ramly sejak 17 tahun lalu dikurniakan empat orang anak iaitu Mohd, Indraputra, 15; Puteri Ratna Sari, 14; Mohd. Razafiq Putra, 11 dan Mohd. Warith Iqbal Putra, 6.

Isteri Allahyarham juga kini sarat mengandung tujuh bulan anak kelima mereka.

Damailah Allahyarham di sana. Kami di sini sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. - Al-Fatihah.

No comments: