Thursday, October 23, 2008

Banjir, Ribut, Tanah Runtuh, Tsunami, Bencana Alam

BANJIR mula melanda di beberapa tempat di sebelah utara. Fenomena yang sudah dijangkakan berlaku setiap tahun ini pasti mencabar kesediaan pihak-pihak berkaitan untuk menghadapinya.

Oleh kerana kejadian banjir boleh dikatakan kerap berlaku di penghujung tahun maka kita percaya rakyat tentu memiliki persediaan, baik dari segi perancangan mahupun ketahanan mental.

Alangkah baiknya jika dalam keadaan begini, kita tidak perlu lagi mendengar rintihan dan rungutan daripada mangsa yang berasa susah akibat bencana ini di samping aduan berhubung kelemahan usaha bantuan.

Oleh itu, kita berharap semua kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan kelancaran pengagihan sumbangan dapat diketepikan untuk memastikan bantuan segera sampai kepada penerima-penerima yang layak.

Ini bagi mengelak berulangnya keluhan-keluhan yang pernah disuarakan oleh mangsa-mangsa banjir mengenai bantuan lewat diagihkan atau tidak sampai terus kepada mereka.

Kita percaya, negara sudah membuat persediaan dari segi sistem yang mencukupi untuk menghadapi bencana banjir yang bukannya suatu yang asing.

Bencana seperti banjir yang dihadapi sesetengah negeri sekarang merupakan ujian besar bukan saja kepada mangsa supaya menyemai sifat sabar tetapi juga kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan urusan menyelamat dan memberi bantuan.

Kita mengharapkan semua agensi yang terbabit dengan kerja-kerja pemindahan, bantuan dan menyelamat perlu bersiap sedia dalam segala segi.

Ia bagi memastikan proses memindahkan mangsa ke pusat-pusat pemindahan serta penyaluran serta pengagihan bantuan bencana berjalan lancar.

Justeru pusat-pusat pemindahan perlu dipersiapkan dalam 'erti kata' yang sebenar dengan mengambil kira segala kemudahan yang ada di pusat-pusat berkenaan berkeadaan baik termasuklah bekalan air, elektrik serta kemudahan tandas yang sempurna.

Janganlah mangsa-mangsa banjir masih ditempatkan di balai-balai raya, balai rakyat atau dewan orang ramai yang tidak ada kemudahan asas yang mencukupi dan kelihatan tidak begitu sihat.

Perkara ini perlu diberi perhatian kerana sesetengah mangsa banjir terpaksa ditempatkan berhari-hari atau berminggu-minggu di pusat-pusat pemindahan banjir selagi banjir tidak surut dan mereka sangat-sangat memerlukan satu persekitaran yang sihat.

Di samping itu, kita perlu sedar bahawa selain banjir, bencana alam lain mungkin boleh melanda negara ini.

Mungkin kerana perhatian kita hari ini lebih tertumpu pada bencana banjir, kita tidak menyedari dan kurang peduli kejadian tanah runtuh yang sedang berlaku di sekeliling kita seiring dengan banjir yang kini melanda.

Jadi diharap semua rakyat dan pasukan keselamatan dan penyelamat negara ini perlu sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam.

No comments: