Wednesday, October 15, 2008

HINDRAF

KUALA LUMPUR 15 Okt. — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini mengisytiharkan Hindu Rights Actions Force (Hindraf) adalah sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang.

Pengisytiharan itu diwartakan berkuatkuasa hari ini setelah berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak, katanya dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan kuasa di bawah Sekyen 5(1) dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), diisytiharkan Hindraf adalah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata perintah itu dibuat hasil pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri mengenai kegiatan-kegiatan pertubuhan tersebut yang telah dijalankan sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang.

Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai-nilai moral di Malaysia.

Syed Hamid berkata sekiranya tidak dibendung, Hindraf akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara malah menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum. - Bernama

No comments: