Wednesday, October 22, 2008

Mawi-Ekin nikah 20 Disember

SERI KEMBANGAN 21 Oktober - Teka-teki mengenai tarikh pernikahan artis popular, Asmawi Ani, 27, atau Mawi bersama Nora'ashikin Rahmat, 29, akhirnya terjawab hari ini apabila kedua-duanya mengumumkan 20 Disember ini sebagai kemuncak gosip hubungan intim mereka yang diperkatakan sebelum ini.

Pengumuman yang diadakan pada satu sidang media khas di salah sebuah hotel di sini itu turut dipancarkan secara langsung melalui saluran Awani (saluran 501, Astro).

Pernikahan Mawi dan Nora'Asikin atau Ekin bakal diadakan di salah sebuah masjid di Johor Bahru yang akan ditetapkan kemudian.

Majlis persandingan pula berlangsung pada tarikh sama iaitu pada sebelah malamnya di Stadium Tertutup Johor Bahru.

Di pihak pengantin lelaki, majlis resepsi akan diadakan di Dewan Felda Taib Andak, Kulai, Johor pada Ahad, 28 Disember ini.

Istimewanya, sehari sebelum itu, Mawi akan menganjurkan sebuah konsert khas bersama barisan bintang Akademi Fantasia lain di padang Felda berkenaan.

Khusus kepada peminat di sekitar Lembah Klang, majlis resepsi istimewa dirancang diadakan pada 11 Januari tahun depan di Hotel Palace of the Golden Horses di sini.

Pada sidang akhbar lebih sejam itu, Mawi dihujani soalan bertubi-tubi mengenai konsep, wang hantaran dan perjalanan majlis pernikahannya.

Sungguhpun begitu, penyanyi terbabit yang tidak akan mengadakan majlis pertunangan enggan mendedahkan mengenai jumlah wang hantaran kerana ia masih dibincangkan antara keluarga kedua-dua pihak.

''Untuk majlis persandingan di pihak Ekin, konsepnya adalah moden kontemporari manakala di sebelah saya berkonsepkan Jawa.

''Memang pada mulanya saya mahukan majlis yang ringkas, tetapi saya juga perlu memikirkan peminat yang telah banyak memberikan sokongan selama ini,'' ujar Mawi yang akan mula bercuti 12 Disember ini untuk memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinannya.

Pada Mac lalu, Mawi mengesahkan hubungan cintanya bersama Ekin yang telah terjalin sejak dua tahun itu.

Kedua-dua mereka akan menjalani kursus nikah yang diaturkan khas oleh pengurusan saluran Oasis (saluran 106, Astro) pada 4 November ini di Masjid Putrajaya, Putrajaya.

Kata Mawi, dia telah melamar Ekin untuk berkahwin melalui panggilan telefon pada 30 April lalu ketika berada di Syria.

''Selepas melamar Ekin, saya terus memberitahu keluarga dan berbincang. Majlis merisik telah dilakukan pada Jun lepas dan bermula dari situ, ahli keluarga saya dan Ekin telah menetapkan tarikh pernikahan.

''Ketika ini, persiapan pernikahan sudah 50 peratus dan saya harap agar ia akan berlangsung dengan baik,'' katanya.

Ekin pula ketika diajukan soalan mengenai kesediaannya untuk hidup bersama Mawi, berkata, dirinya akan berusaha menjadi isteri yang baik.

''Mula-mula memang sukar apabila saya dihujani dengan pelbagai tohmahan. Namun, Mawi sering kali memberikan semangat,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Astro melalui saluran Oasis, Ria dan Prima akan menjadi penyiar rasmi pernikahan Mawi-Ekin dengan menyiarkan program-program khas mengenai hubungan cinta, majlis pernikahan dan resepsi pasangan terbabit.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Maestro Talent & Management Sdn. Bhd., Freddie Fernandez.

No comments: