Tuesday, October 21, 2008

Perginya pemimpin wanita berhaluan kiri

Oleh ROOSFA HASHIM

pejuang politik berhaluan kiri dan bekas Ketua Umum Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Shamsiah Fakeh meninggal dunia pukul 9 pagi semalam pada usia 84 tahun kerana sakit tua. Anak kedua daripada lapan orang adik-beradik itu lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ayahnya seorang peniaga, Sutan bin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai 'Fakeh' kerana dihormati atas keilmuan agamanya yang tinggi. Ibunya bernama Sa Asma binti Nonggok. Ibu dan ayahnya adalah perantau dari Padang, Sumatera yang berhijrah ke Tanah Melayu dan menetap di Kuala Pilah.

Shamsiah pernah mengajar di Madrasah al-Akhlak Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pada 1945 dan bermulalah kegiatannya menyuntikkan semangat anti-Inggeris dan perjuangan kemerdekaan kepada masyarakat setempat.

Ketika usianya 24 tahun, beliau menerima undangan pucuk pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bagi menyertai parti itu dan menjadi Ketua Umum AWAS, iaitu sayap wanita PKMM menggantikan Aishah Ghani yang meletakkan jawatan.

AWAS kemudian dipimpin oleh Shamsiah untuk menyertai gabungan Pusat Tenaga Rakyat - All Malayan Council of Joint Action (PUTERA-AMCJA). Shamsiah juga membawa AWAS bekerjasama dengan Angkatan Pemuda Insaf (API), pimpinan Ahmad Boestamam bagi menaikkan semangat pemuda pemudi Tanah Melayu ke arah kemerdekaan.

Gandingan suami isteri pemimpin API-AWAS, Ahmad Boestamam-Shamsiah ini telah menjadi pemangkin dalam mempercepat kepanasan semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda di Tanah Melayu.

Selepas berpisah dengan Boestamam, Shamsiah berkahwin pula dengan Wahi Annuar, pemimpin Ikatan Pemuda Tanah Air yang juga bekerja rapat dengan PKM.

Menentang

AWAS menganjurkan Hari Wanita Pekerja Antarabangsa di Jenderam, Selangor pada 8 Mac 1947. Shamsiah juga memimpin ahli-ahli AWAS turut serta dalam rapat umum dan perarakan anjuran Pembela Tanah Air (PETA) di Temerloh pada penghujung Mac 1948 bagi menentang penjajahan Inggeris. Tumpuan beliau juga diberikan bagi mengukuhkan AWAS di Pahang khususnya di Lubuk Kawah, Temerloh sehingga berjaya mengumpulkan 65,000 ahli dalam 67 cawangan.

Selepas Inggeris mengisytiharkan darurat, Shamsiah diburu manakala PKM, PKMM dan AWAS diharamkan. Semua kegiatan radikal dan komunisme diharamkan. Shamsiah dan teman-temannya berundur ke dalam hutan di Temerloh dan menyertai Rejimen Ke-10, pasukan gerila Melayu pimpinan Abdullah C.D. yang juga bekas pimpinan pusat PKMM dan anggota Jawatankuasa Pusat, Parti Komunis Malaya. Dengan tekanan yang diterima, Rejimen Ke-10 berundur lebih jauh ke sempadan Malaysia - Thailand pada 1953.

Shamsiah kemudian dihantar oleh PKM ke China sebelum ditukarkan bersama suaminya Ibrahim Mohamad ke Jakarta dan berkhidmat dalam Liga Pembebasan Nasional Malaya (LPNM).

Di Jakarta mereka berdua berkhidmat bersama Abdullah Sudin dari Singapura. Dengan tercetusnya Gestapu (30 September 1965), Sukarno digulingkan, Shamsiah dan teman-temannya dalam LPNM ditangkap dan dibuang negeri ke China. Bagi meneruskan hidupnya, Shamsiah bekerja di kilang besi.

Shamsiah tidak lagi aktif berjuang bersama PKM sejak 1968. PKM menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989 di Haadyai dan ketika itu Shamsiah dan keluarganya masih berada di China.

Beliau kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994. Apabila kembali ke tanah air, Shamsiah menulis kisah hidupnya dan menerbitkannya dengan judul Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10.

Shamsiah dan AWAS akan terus dicatat dalam sejarah sebagai pejuang dan pertubuhan berhaluan kiri.

No comments: