Tuesday, October 21, 2008

Shamsiah Fakeh meninggal dunia

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh, 84, atau nama sebenarnya Shamsiah Sutan meninggal dunia akibat sakit tua dan jangkitan pada paru-paru, di kediaman anaknya di Kondominium D'Tropicana, Jalan Kuchai Lama di sini.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas), sebuah parti politik sayap kiri kepada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9 pagi.

Salah seorang anaknya, Jamaluddin Ibrahim, 46, memberitahu, ibunya sudah dapat merasakan akan pergi buat selama-lamanya dengan meminta dikeluarkan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Sabtu lalu.

''Beliau memang sudah berpesan kalau boleh mahu meninggal dunia di rumah anaknya daripada di hospital,'' katanya.

Menurutnya lagi, arwah ibunya berada dalam keadaan baik semasa hari pertama di rumah selepas keluar dari hospital semalam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Sungai Besi selepas solat asar.

Shamsiah Fakeh dilahirkan pada 1924 di Kuala Pilah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah, Padang Panjang, Sumatera.

Beliau merupakan antara tokoh perjuangan kemerdekaan yang dilabel dalam golongan kelompok kiri seangkatan dengan Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Burhanuddin Helmi.

Selepas menubuhkan Awas, pertubuhan parti politik itu diharamkan di bawah Undang-Undang Darurat yang diisytiharkan British pada 20 Jun 1948, telah memaksa beliau melarikan diri ke hutan dan menyertai perjuangan bersenjata PKM.

Kemudian, beliau bersama rakan sekutunya bergerak ke sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1953.

Berkahwin dengan Ibrahim Mohamad pada 1 Jun 1956, beliau dikurniakan tiga orang anak, Shamsuddin, Kamaruddin dan Jamaluddin.

Setelah sekian lama bersama PKM, akhirnya beliau menyerah diri kepada kerajaan Malaysia pada tahun 1980 mengikut jejak langkah bekas Pengerusi PKM, Musa Ahmad.

Beliau pulang ke tanah air pada 1994 bersama suami dan anak-anaknya setelah mendapat kebenaran kerajaan Malaysia.

No comments: