Sunday, November 2, 2008

Kisah kiai nikah budak 12 tahun

KISAH anak-anak gadis bawah umur berkahwin atau dipaksa berkahwin bukan cerita baru di beberapa daerah di Indonesia.

Di Indramayu, Jawa Barat, ramai anak gadis yang bernikah di bawah usia 18 kerana tekanan ekonomi.

Ibu bapa rela melepaskan anak perempuan mereka untuk meringankan bebanan hidup.

Namun demikian, ramai wanita muda itu yang bercerai-berai dan menjadi janda walaupun belum mencapai usia 20 tahun.

Bagi menyambung nafkah hidup dan menyara anak, mereka berhijrah ke kota-kota seperti Jakarta dan ke luar negara untuk bekerja.

Menurut laporan Jawatankuasa Perlindungan Anak pada 2007, kira-kira 34 peratus pelajar perempuan tercicir sekolah rendah dan sekolah menengah pertama, antaranya disebabkan terpaksa berkahwin.

Di Semarang, Jawa Tengah, pernikahan seorang pengasas sebuah pondok pengajian agama (pesantren) yang berusia 43 tahun dengan seorang budak perempuan berumur tidak sampai 12 tahun menggemparkan masyarakat.

Media tempatan termasuk televisyen melaporkan mengenai pernikahan itu.

Pernikahan itu mencetuskan kontroversi dan menyalahi Undang-Undang Perlindungan Anak selain mendapat tentangan dari pelbagai pertubuhan masyarakat termasuk Jawatankuasa Perlindungan Kanak-kanak Indonesia dan Majlis Ulama.

Mengikut undang-undang negara ini, wanita berusia bawah 18 tahun tidak dibenarkan berkahwin. Undang-undang tahun 1974 pula mensyaratkan hanya perempuan berumur 16 tahun ke atas layak bernikah.

Mereka boleh dihukum penjara lima tahun atau didenda RM40,000.

Kiai Pujiono Cahyo Widianto atau lebih dikenali Syekh Puji yang juga seorang pengusaha mengambil Lutfiana Ulfa yang masih bersekolah pada bulan Ogos lalu tanpa mendaftar dengan pejabat agama.

Bapa Lutfiana tega melepaskan anak perempuannya yang masih bersekolah itu kerana kemiskinan atau mungkin terhutang budi dengan Syekh Puji.

Syekh Puji cukup dikenali di Semarang kerana beliau merupakan seorang dermawan dan kerap menderma kepada penduduk miskin semasa bulan puasa.

Seperti mana yang dilaporkan oleh media tempatan, kiai tersebut memilih Lutfiana selepas diadakan satu "pertandingan" dengan beberapa orang wanita lain.

pemilihan

Lebih mengejutkan pemilihan itu dilakukan sendiri oleh isteri pertama Syekh Puji yang berusia 26 tahun dan pengikut-pengikut tok guru itu.

Syekh Puji bernikah dengan Lutfiana pada pukul 3 pagi mengikut perkahwinan siri.

Lutfiana, anak gadis yang sedang menuntut di sekolah rendah merupakan pelajar yang pintar dan cerdas, demikian menurut cerita rakan dan guru-gurunya.

Walaupun Syekh Puji boleh didakwa kerana bernikah dengan gadis bawah umur, tok guru itu tetap mempertahankannya.

Dia berkeras kerana pernikahan tidak melanggar hukum agama dan tidak dihalang oleh bapa Lutfiana.

Syekh Puji bersedia menghadapi tindakan undang-undang dan tentangan dari mana-mana pihak sekalipun.

Malah, lebih menakjubkan, Syekh Puji juga berkata dia sedang merancang untuk bernikah dua lagi gadis bawah umur yang berusia tujuh dan sembilan tahun.

Bagaimanapun Syekh Puji tidak mahu menghebahkannya bila dia akan bernikah dengan dua kanak-kanak perempuan itu.

Setiausaha Jawatankuasa Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) Hadi Supeno, berkata kes perkahwinan anak bawah umur kerap terjadi di daerah miskin.

"Ada anak perempuan yang kami temui berumur 9 tahun sudah disolek dan dinikahkan. Ia menjadi budaya di daerah itu," kata Hadi.

Lutfiana Ulfa bukan disingkirkan dari sekolah tetapi dikeluarkan dari bangku sekolah oleh ibu bapanya untuk memenuhi kehendak Syekh Puji.

Pelajar itu adalah antara anak gadis malang yang menjadi korban keadaan semasa dan korban eksploitasi seorang "tok guru" yang dilaporkan sering berkahwin dan bercerai.

- MINGGUAN
Jenny: Ini satu lagi contoh, orang islam kita yang mengambil kesempatan melalui ilmu agama yang dimilikinya untuk mempengaruhi orang lain. Cuma bezanya sikit saja kat kita, biasanya tok lebai kawin ramai tapi jarang dengan yang masih bawah umur, tapi memang ramai yang suka mengamalkan sunnah yang satu ni.

No comments: