Sunday, November 2, 2008

Persandingan anak ADUN Pas-UMNO meriah

MUAR 1 Nov. - Majlis persandingan anak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Sungai Abong, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh dengan pasangannya iaitu anak ADUN Barisan Nasional (BN) Bukit Bunga, Kelantan, Mohd. Adhan Kechik yang berlangsung di Taman Desa, Sungai Abong di sini hari ini meriah dengan kehadiran lebih 5,000 jemputan.

Kedua-dua anak wakil rakyat yang berlainan parti politik itu, Salleh Sheikh Ibrahim, 25, dan pasangannya, Ernie Muneerah Mohd. Adhan, 25, sebelum ini mendapat liputan media apabila mengadakan majlis kenduri di pihak perempuan di Tanah Merah, Kelantan pada 18 Oktober lalu.

Pasangan pengantin itu masing-masing bertugas sebagai pegawai penyelidik di Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang cuma dipisahkan oleh tempat kerja iaitu Ernie di Putrajaya, manakala suaminya di Jerantut, Pahang.

Salleh dan Ernie Muneerah pernah bertemu semasa zaman persekolahan, namun terpisah kerana pekerjaan ahli keluarga masing-masing.

Mereka bertemu semula semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila mengambil jurusan yang sama iaitu Ijazah Sarjana Muda Biologi Molekul.

Turut hadir bapa pengantin perempuan bersama lebih 30 ahli rombongan dari Kelantan yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Sheikh Ibrahim yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong pada pilihan raya umum ke-12 lalu merupakan seorang doktor yang membuka sebuah klinik untuk kemudahan penduduk di Jalan Salleh di sini.

Beliau dikenali sebagai seorang pakar perubatan yang suka membantu pesakit tanpa mengira kaum dan tidak hairan jemputan yang datang ke majlis persandingan anaknya hari ini terdiri daripada pelbagai lapisan kaum.

Jenny : Saya sedih melihat pakcikmakcik yang taksub kpd parti di kampung2 yang sanggup
memutuskan hubungan persaudaraan dan silaturahim antara saudara dan jiran2. Sepatutnya pemimpin atasan memandang dengan serius agar keadaan yang berlarutan hampir sejak merdeka masih belum selesai, sedangkan memutuskan hubungan silturahim itu adalah berdosa dan tiada tempat di syurga, kalau kedua2nya macam ni, ......ha lu pikirlah sendiri. Apa guna bercakap mengenai islam kalau tidak mengamalkannya...tengoklah apajadi kepada islam dan melayu sekarang, berpecah belah, kampung tergadai, kuasa semakin terhakis akibat dari kedegilan hati orang yang kedua2nya mengaku islam, tetapi tidak mengamalkan yang sebenarnya.

No comments: