Sunday, November 2, 2008

Turun 15 sen. Alternatif baru ganti pemberian rebat minyak?

PUTRAJAYA 1 Nov. - Kerajaan sedang memikirkan alternatif baru untuk menggantikan pemberian rebat minyak berikutan maklum balas yang negatif daripada pelbagai pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, gambaran dan pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak menyatakan bahawa sistem rebat itu adalah satu sistem yang tidak disukai rakyat.

"Walaupun tujuan kerajaan memperkenalkan sistem ini ialah untuk memberi bantuan kepada pengguna dan pemilik kenderaan di bawah 2,000cc, namun nampaknya rakyat Malaysia tidak kisah.

"Tak ramai yang suka rebat ini dan ramai yang merasakan sistem rebat tak sepatutnya dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kementerian itu di sini hari ini.

Shahrir berkata, sehingga kini kerajaan telah membelanjakan RM2.5 bilion untuk pemberian rebat itu. Pemberian rebat sebanyak RM625 setahun itu akan berakhir pada Mac depan.

Beliau berkata, alternatif kepada sistem rebat itu sedang dalam perbincangan dan kerajaan masih berusaha mengenal pasti kaedah terbaik dalam usaha memenuhi kehendak rakyat.

Bagi mengurangkan beban pemilik kenderaan ekoran kenaikan harga minyak, kerajaan mulai 14 Jun lepas membayar rebat sebanyak RM625 kepada pemilik kenderaan di bawah 2,000cc manakala pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula menerima bayaran tunai sebanyak RM150.

- Bernama

No comments: